Monday, March 28, 2011

'Kelak', kau akan meyakini

Bismillah.

Alhamdulillah, saya masih di atas muka bumi ini.

Bererti,
Saya masih diberi peluang untuk memilih - jalan ketaqwaan ataupun jalan kefasiqan
Saya masih diberi peluang untuk - top up amal ataupun top up dosa
Saya masih lagi diuji - adakah saya ini benar-benar beriman ataupun hanya munafik(pura-pura beriman)
Saya masih lagi diuji - layakkah saya untuk mendapat syurganya ataupun hanya neraka yang selayaknya untuk saya (kerana masih lagi sombong, tak mengaku dan tak beramal sebagai hamba)

Di dunia ini kita diberi peluang
Di dunia ini kita diuji

Akan tetapi,
Hanya di akhirat kelak semuanya akan dibalas

Penat lelah dalam usaha menjadi hamba yang baik
- ganjaran yang berlipat ganda di sana

Lemas dan hanyut dalam dunia keseronokan dan kemaksiatan
- azab yang setimpal, atas perbuatan-perbuatan ingkar kita

Cuma
Sejauh mana kita meyakininya?

Allah sendiri ada berfirman,

" Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." (Qs. 30: 64)

Kita sudah mengetahui..

Jadi, kenapa kita sering tak ambil peduli?

Dunia ini hanya permainan.
Akhirat itu kehidupan kita yang sebenar-benarnya.
Sebenar-benarnya.

Jelas ayatnya...
Tapi, apakah kita masih tidak memahami?

Terkadang,
Manusia itu dilihat bijak
Kerana merancang baik kehidupan mereka 20 tahun akan datang (kononnya)..
Merancang rapi kejayaan dalam career hidupnya
Mahu membina famili yang punya nama
Punyai isteri yang cantik / Suami yang hensem
Kekayaan yang melimpah ruah dsb.

Tetapi
Apakah dikatakan bijak seseorang itu
Jika apa yang difikirkan
Hanya untuk 10-30 tahun akan datang....

Bagaimana pula perancangan kita untuk masa yang lebih ke hadapan
Masa depan kita yang lebih jauh
100 tahun akan datang...
200 tahun
300 tahun
1000
Dan seterus-seterusnya... (tak ada penghujungnya)

Tak kisah?

Apakah dikatakan bijak orang yang merancang rapi kehidupan 60-70 tahun di dunia, tetapi untuk kehidupan yang berjuta-juta tahun selepasnya, langsung tidak di ambil kira?

Apakah dikatakan berjaya orang yang berkedudukan dan punya harta yang berkati-kati di dunia ini, jika kelak di akhirat, hanya menjadi harta-harta yang akan dibakar dan disterika di tubuh mereka? (Lihat Qs. 9: 35)


Fikir-fikirkanlah..

Dan janganlah kita setakat fikir, akan tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan.
Kerana itu hanya sia-sia.
Tiada makna untuk kehidupan 'sebenar' kita nanti...

Masa terus bergerak..
Tik.
Tik.
Tik.
It waits for no men.

Jangan kau claim dirimu berjaya,
Jika kejayaan yang kau rancang dan usahakan itu hanya takat di dunia


Jangan kau claim dirimu seorang yang matang dan educated,
Jika apa yang hanya terlintas di fikiranmu.. hanya dunia.. dunia..

Sedang, kau tahu..
Kau akan mati..
Aku juga akan mati..

Dan semua yang ada di dunia ini akan kita tinggalkan.
Rumah.
Harta.
Aset berjuta-juta.
Pangkat dan nama.
Isteri/suami juga keluarga.
Katakanlah, apa sahaja.

Yang tinggal?
Hanya amalan dan iman kelak akan menjadi saksi bicara di hadapan Yang Maha Berkuasa

Apakah kita akan hidup bahagia selepas itu?

Tepuk dada,
Tanya iman

Buka minda,
Renung-renungkan amalanmu sepanjang hidup di dunia.

Kerana kau hanya punya 'sekarang' untuk berfikir dan bertindak.
Kau hanya punya 'masa ini' untuk kau berubah, dan kembali meletakkan Allah sebagai Tuhan yang perlu kau taati

Ber'tindak'lah segera.
Sebelum engkau terlambat

Ataupun
'Kelak', engkau jua yang akan menyesal. . .
*kelak = tempoh masa yang amat kejap. percayalah.

Tak percaya?
Tepuk dada, tanya imanmu... (jangan tanya nafsu, sebab, nafsu akan menidakkan)



“ Dan (alangkah ngerinya) sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, (kini) kami adalah orang-orang yang yakin'” (Qs. 32: 12)

Kita mahu jadi seperti itu?
Pastinya tidak.


Kita sudah pun diperingatkan
Jadi ayuh kita bertindak!

Kelak, kau akan meyakini. . .



-truth seeker-
in the observation of Allah

Wednesday, March 23, 2011

Kerana yang menilainya itu Allah. . .

Bismillah

Alhamdulillah.. wa syukurlillah
Atas keizinan dan kekuatan dariNya, saya masih lagi di sini.
Masih lagi berjuang dalam medan dunia ini.
Masih dapat berjalan selangkah demi selangkah ke hadapan, walau mungkin, berkali-kali juga tersungkur dan juga terundur.
Semuanya dengan izin Allah.

Alhamdulillah...

Entah mengapa.
Baru-baru ini, banyak perkara yang berkeceramuk di dalam kepala saya.


Tugasan-tugasan yang perlu diselesaikan.... dan due date yang makin mendekat.
Masalah-masalah berhubung dengan diri dan masyarakat.
Ujian... tidak dapat menjawab test EPM dengan baik.
Tekanan.. persediaan untuk satu slot program yang perlu dihandle, hujung minggu ini. Rasa kurang confidence pula.
Dan, perkara-perkara kecil yang lain, yang entah mengapa, kadang-kadang terasa cukup mengganggu fikiran ini.



Astagfirullah..
Innnalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Ya Allah,
Berilah hambaMu ini kekuatan untuk terus istiqamah ya Allah.
Sesungguhnya, hambaMu ini, hanyalah hamba yang lemah.
Tidak akan mampu ku hadapi semuanya.. jika tanpa pertolonganmu ya Allah.


" Bukankah Dia (Allah) yang memperkenankan (do'a) orang yang dalam kesulitan apabila dia berdo'a kepadaNya, dan menghilangkan kesusahan dan menjadikan kamu(manusia) sebagai khalifah di bumi?

Apakah di samping Allah ada tuhan (yang lain)?
Sedikit sekali nikmat yang kamu ingat." (Qs. 27: 62)



" So, verily, with every difficulty, there is relief:
Verily with every difficulty there is relief." (Qs. 94: 5-6)


Sabar wahai diri.
Terus teguhlah wahai diri.
Yakinlah.. bahawa sesungguhnya, Allah itu ada.
Dan Dia akan sentiasa membantumu, jikalaulah engkau terus bersabar...


" O ye who believe! Seek help with patient perseverance and prayer: for Allah is with those who patiently persevere." (Qs. 2: 153)




Saya terfikir satu perkara..

Dalam penat lelah kita lakukan kerja... pernahkah kita terfikir

Sebenarnya, untuk siapa kita buat semua ini?
Untuk Allah...

Siapa yang akan menilai semua ini?
Allah..

Justeru, pandagan siapa yang perlu kita cari?
....

Terkadang,
Kita sibuk mengejar itu.. mengejar ini..

Memenuhi kehendak atau hak-hak rakan, keluarga dsb.
Dan kerja-kerja yang dilakukan, kita usahakan untuk melepasi KPI (key performance indicator) yang ditetapkan.

Sampai kan kita lupa, bahawa hakikatnya, yang kita lakukan semua ini.. demi meraih perhatian Allah.. demi mendapatkan redha dariNya..

Jadi, mengapa harus kita merasa sedih?? Atau tertekan?


Seringkali, tatkala berurusan dengan manusia, kita dengan mudahnya akan merasa tertekan.

Manusia itu... banyak ragamnya.
Manusia itu... jarang sekali menghargai usaha-usaha yang kita buat.
Dan manusia itu juga... sukar sekali berpuas hati dengan hasil kerja kita. They always demand more from us.


Ya..
Begitulah manusia.
Yang tiap-tiap individu itu, tiada yang sempurna...
(Jangan lupa, kita juga manusia)

Tetapi, lupakah kita kerana siapa kita buat?
Adakah untuk manusia?

Akan tetapi, lupakah kita pandangan siapa yang kita utamakan?
Bukankah pandangan Dia yang Maha Mensyukuri?


Allah...


Ingatlah wahai diri..
Jika perhatian manusia yang kau cari.. kau tidak akan pernah merasa puas.
Mereka tidak tahu, masa-masa yang kau korbankan tatkala kau tidak bersama mereka.
Mereka tidak merasai, keperitan dan kesusahan, sepertimana yang kau rasai ini.
Ya, mereka tidak akan pernah dapat memahamimu, dengan sebenar-benarnya!


Sebaliknya,
Allah itu sentiasa ada untuk makhlukNya.
Yang Maha Melihat itu sentiasa melihat, pengorbanan-pengorbanan yang engkau lakukan.
Yang Maha Mensyukuri itu sentiasa mengira, penat lelah, titis peluh yang engkau keluarkan.
Dan Dia faham, apa yang sedang engkau rasa..
Dia tahu, kesusahan-kesusaha yang sedang engkau hadapi..

Jadi, mengapa perlu kau merasa lemah dan berputus asa?

Kerana yang menilai semuanya kelak, adalah Allah

Ingatlah wahai diri..

Walaupun manusia menghentammu,
Atas hasil dari kerjamu yang tidak memuaskan bagi mereka.
Atas peribadimu, yang tidak pernah sempurna di mata mereka.
Allah itu, tetap adil dan Maha Penyayang, atas dirimu.

Dia tidak akan pernah menyalahkan kamu jika engkau sudah berusaha sebaiknya.
Dia tidak akan pernah melupakan usaha-usahamu, walau usahamu, pada 'luarannya' tidak berjaya.

Bahkan, bukankah hasil itu jua atas ketentuan dariNya?

Ingatlah wahai diri..
Ingatlah pesananku ini.


Jika kau kelihatan tidak berjaya,
Sedang kau telah berusaha sedaya upaya...
Ingatlah,
Sesungguhnya, Yang Maha Mengetahu itu sedang menguji keikhlasanmu...
Apakah benar, kau lakukan itu, hanya kerana Allah semata?

Astagfirullahal'adzim..
Astagfirullah.


Ampuni hambaMu ini ya Allah
Yang dengan cepatnya mengeluh dan berputus asa.
Yang dengan cepatnya mengalah, dan rasa tidak berdaya.

Ku yakin,
Engkau sedang melihat setiap gerak langkahku...
Mendengar setiap rintihan hatiku..

Oleh itu,
Rahmatilah aku ya Allah dalam perjalananku ini..
Kuatkan aku, untuk terus istiqamah di jalanMu..
Teguhkan hati ini, untuk tetap tenang tatkala mendapat ujian dariMu
Dan redhailah hambaMu ini....

Kerana sesungguhnya
Aku sedar
Bukan redha manusia yang ku cari
Jika tidak, redhaMu yang aku perolehi.

Ya Allah,
Tetapkan langkah-langkah ini,
Hingga ke hujungnya...

Aminn ya Rab.

" Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan maupun berat, dan berjihadlah(berjuanglah) di jalan Allah. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Qs 9: 41)


-truth seeker-
in the observation of Allah


ps: wahai diri, yang engkau perlu adalah berusaha dan terus berusaha. kerana yang menilainya itu Allah. . .

Tuesday, March 22, 2011

Bukan yang terbaik. . .

Bismillah

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w.,
" Siapakah yang menjadi sahabat yang paling baik bagi kami?"

Jawab Rasulullah s.a.w.,

" Seorang yang apabila kamu memandangnya, kamu teringat akan Allah, apabila kamu mendengar percakapannya, bertambah pengetahuan tentang Islam, apabila kamu melihat kelakuannya kamu teringat kehidupan akhirat."


Subhanallah..
Saya cukup terkesan tatkala membaca kata-kata ini.

Ya Allah,
Jadikanlah aku,
Seorang sahabat yang terbaik kepada sahabat-sahabatku,
Yang dengan hadirnya aku bersama mereka,
Dapat mendekatkan diri mereka kepadaMu.


Semoga Engkau perkenankan.




-truth seeker-
in the observation of Allah


ps: maafkan aku semua.... kerana aku tidak memainkan peranan aku sebagai sahabat, dengan baik selama ini. :(

Sunday, March 20, 2011

Letih?

Bismillah

Imam Ahmad Ibnu Hambal pernah ditanya,

" Wahai imam, agak-agaknya, bilakah kita akan mendapat rehat, yang sebenar-benar rehat?"

Imam Ahmad menjawab,

" Rehat yang sebenar-benar rehat itu, hanya akan kita dapati, tatkala kita meletakkan kaki kita ke dalam syurga."


Ya Allah,
Engkau perkukuhkanlah langkah kami ini.. agar hati kami bertambah teguh, untuk terus dan terus menapak, demi mendekatkan diri kami kepadaMu ya Allah.


Sebaliknya, janganlah sesekali Engkau hentikan langkahan kami ini,
Melainkan... ketika di syurga nanti.


Aminn ya Rahim


Sedarlah wahai diri, dunia ini hanya sementara cuma...


-truth seeker-
in the observation of Allah

Saturday, March 19, 2011

Fire drill?

Bismillah

Alhamdulillah..
Segala puji dan puja hanya selayaknya bagi Allah.
Saya 'masih' lagi diberi peluang untuk mengecapi nikmat Islam,
Walau mungkin, saya masih belum cukup bersungguh-sungguh beramal dengannya... astagfirullah

Intospeksi diri...

*siapa penulis? harap diabaikan. moga dengannya, kita lebih mudah untuk sama-sama bermuhasabah akan diri masing-masing. insyaAllah.

Fire drill?
Kenapa tiba-tiba saya ingin menyebut alkisahnya fire drill?



Awal pagi tadi, di kolej kediaman saya, ada diadakan fire drill, atau bahasa melayunya, latihan kebakaran.
Mendengar loceng kebakaran yang bingit memenuhi ruang asrama, menyebabkan saya terus terbangun dari tido. Melihat jam di handset, baru menunjukkan pukul 4.20 pagi.

Saya bangkit, melihat tingkap. Tiada tanda-tanda asap atau kebakaran... jadi saya terus ke tandas, untuk kemudiannya menunaikan apa-apa yang perlu (tetapi tidak turun untuk fire drill.. hehe.. - xperlu dicontohi)~

Saya kira, lama juga loceng berbunyi. Sampai pukul 5 pagi kalau tak silap saya.
Mungkin, sebab tak ramai yang turun kut. (kalau dari pandangan tingkap saya, saya tidak sedar seorang pun yang turun)

Bahkan, beberapa orang pelajar, menjerit "Apiii! Apiii!".
Kelihatan seperti bermain-main dengan situasi itu, sedang, mereka juga tidak kelihatan turun ke bawah.

Hmm,
Jadi, ada apa dengan fire drill?

Kerana kejadian itu, saya jadi terfikir...
Untuk persediaan menghadapi situasi kebakaran, kita dapat membuat fire drill.
Tetapi, untuk persediaan menghadapi kematian, ada ke death drill??

Ya, death drill (boleh gune ke term ni?). Pernah anda terfikir?

Kalau dalam kebakaran, kita dilatih untuk bersiap sedia dalam apa jua keadaan pun.
Kebakaran boleh berlaku secara tiba-tiba (fire drill pun biasa diadakan di tengah malam - melatih kita sentiasa bersiap sedia)
Any moment occuring events.

Bagaimana pula kematian?
Bukankah ia juga boleh terjadi dalam apa jua keadaan (ada orang mati ketika tido, berjalan, sujud dll)
Bukankah ia berlaku secara tiba-tiba
(kalau dalam kebakaran, sekurang-kurangnya, kita ada smoke detector devices untuk mengesan asap.. kalau kematian?? ada detector device jugak ke?)
Yes, and it is also any moment occuring event.

Jadi, rasanya perlu tak kita buat death drill ini?
Yup, semestinya.

Malah,
Jika fire drill - kebarangkalian untuk seseorang itu mengalami kejadian real-life kebakaran adalah amat-amat kecil dalam seumur hidupnya.
Death drill - pula sebaliknya... tiap-tiap yang bernyawa itu, pasti akan menghadapi mati.
Pasti.

Ada sesiapa yang mengaku dirinya terlepas dari kematian?
Ada?
Saya pasti, bahawa semua yakin dan amat-amat mengetahui, kematian itu, akan datang menjengah mereka.
Baik yang bukan Islam sekalipun.

Jika fire drill itu, demi mengelakkan badan kita dijilat api dunia.
Death drill pula, demi mengelakkan badan kita diratah, api neraka yang tidak terperi seksanya..
Bahkan, kalau tak silap saya, ada riwayat mengatakan, ianya 100x lebih panas dari api di dunia. Na'udzubillah

Yang pasti, kita tidak akan sanggup untuk memasukinya, barang pun sesaat.
Saya tak sanggup. Anda?

Kepanasan gunung berapi pun sudah tak tertahan. Apatah lagi seksa di api neraka?


Jadi, apakah kita masih mahu lengah-lengahkan diri dari melaksanakan death drill??
*death drill = persiapan dalam menghadapi kematian

Apakah kita tahu, bahawa kematian kita itu masih lambat lagi?
Tidak.
Bahkan, saya pasti, tiada yang mampu memastikan bahawa dirinya masih hidup pada esok hari.

Teringat saya, kepada seorang rakan (atau boleh dipanggil abang), yang baru sahaja meninggal pada cuti mid-sem yang lepas (9/3/11). Umurnya ketika itu baru mahu menjengah 22 tahun.
Al-Fatihah....

Masih segar di ingatan saya, hanya beberapa hari sebelum itu, kami bertegur sapa di perkarangan masjid. Senyumannya, sapaannya.
Saya ada bertanya, ke mana tempat dia akan balik - jawabnya, Terengganu.
Rupa-rupanya, dalam perjalanan pulang ke rumah di Terengganu itulah, dia mengalami kemalangan jalan raya, sehingga meragut nyawanya.
Innalillah...

Jujur, mendengar berita kematiannya sahaja membuat saya terpana.
Bagaimana jikalau, yang pergi, lepas pertemuan itu... saya? Tidak mustahil bukan.

Alhamdulillah.
Allah masih mengizinkan saya untuk bernafas.
Begitu juga buat anda yang membaca.

Dan kita perlu sentiasa ingat,
Bahawa kematian itu tidak mengambil kira umur...

Persoalannya,
Adakah kita bersyukur dengan kesempatan yang Allah berikan ini?
Apakah dengan terus berada dalam jalan yang melupakan Allah itu tandanya kita bersyukur?
Apakah, dengan mengisi masa hidup di dunia yang singkat ini, dengan perkara-perkara lagha dan maksiat, itu yang ingin kita bawa tatkala menghadapNya?
Justeru pula, mengapa, tatkala ada orang-orang yang mengingatkan kita kepada Allah.. kita sering perlekehkan??
Kalau begitu, mengapa tika, ada orang yang concern terhadap 'masa depan' kita, kita buat tak peduli??

Mengapa?

Ego sangatkah kita?
Terasa diri lebih bagus?
Sampaikan tidak boleh ditegur, tidak boleh dinasihati...

Jangan, jangan wahai diri....
Nasihat buat diri saya sendiri.. terutamanya.
Yang ada masanya, merasa ego untuk menerima nasihat dan teguran..

Sesungguhnya, takabbur itu hanya layak bagi Allah.
Manusia itu, sedikitpun tidak layak untuknya.
Siapakah kita, tanpaNya?

Dan kelak..
Ya, di akhirat nanti.. kau akan benar-benar menyesal dengan perbuatan tidak pedulimu itu.

Akan tetapi, rugi sekali...
Rugi
Kalau engkau rendahkan egomu serendah tanah yang dipijak-pijak sekalipun ketika itu
Penyesalan itu tetap tiada membawa apa-apa guna
Kerana, ketika di dunia dahulu,
Kau sendiri yang tidak menggunakan peluang yang Dia berikan, untuk mendekatkan dirimu kepadaNya....


Firman Allah s.w.t dalam kitabNya,

"Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya mereka mendengar suara neraka yang mengerikan, sedang neraka itu menggelegak,

hampir-hampir (neraka) itu terpecah-pecah lantaran marah. Setiap kali dilemparkan ke dalamnya sekumpulan (orang-orang kafir). Penjaga-penjaga (neraka itu) bertanya kepada mereka: "Apakah belum pernah datang kepada kamu (di dunia) seorang pemberi peringatan?"

Mereka menjawab: "Benar ada, sesungguhnya telah datang kepada kami seorang pemberi peringatan, maka kami mendustakan (nya) dan kami katakan: "Allah tidak menurunkan sesuatu pun, kamu tidak lain hanyalah di dalam kesesatan yang besar".

Dan mereka berkata: "Sekiranya kami mendengarkan atau memikirkan (peringatan itu) niscaya tidaklah kami termasuk penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala".

Mereka mengakui dosa mereka. Maka kebinasaanlah bagi penghuni-penghuni neraka yang menyala-nyala.

[Surah Al-Mulk, 67: 7-11]



*kafir=ingkar... sebagai muslim, kita tetap boleh merefleksi diri kita pada ayat-ayat yang mengecam orang kafir..

It is never too late to change.

Masih tak berminat untuk melakukan death drill??
Tak mengapa.
Saya tak rugi sedikitpun.
Mereka-mereka juga tidak rugi sedikitpun.
Rakan-rakan yang kamu seringkali bergaul bersama, itupun tidak akan rugi.

Sebaliknya, jika dengan izinNya kamu sedar..
Dan mengambil tindakan untuk berubah ke arah yang lebih baik.
Dirimu itu sendiri yang akan amat-amat beruntung.
Yep.
Mengelakkan diri daripada diseksa beribu-ribu tahun di neraka... apakah itu bukan suatu keuntungan yang besar?

Kelak, kamu dengan amalanmu di hadapan Allah.
Aku dengan amalanku di hadapanNya.
Mereka dengan amalan mereka di hadapanNya jua.

Sedang aku tahu, amalanku juga masih sedikit...
Dosaku juga bertimbun.
Tiada masa pula aku ingin mempersoalkan pula amalanmu..

Hanya saya mampu berdo'a
Moga 'kelak', saya dan kamu dapat sama-sama mendapat redha dariNya.
Dan terhindar dari seksaan neraka yang dahsyat.

Aminn ya Rahman

Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta yang terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian  itu. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baqa' dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”
[HR. Ibnu Majah dan Abiddunya]


ps: death drill = persiapan menghadapi mati = amalan kebaikan + taqwa.. dan drill ini telah lama pun bermula. . .

-truth seeker-
in the observation of Allah

Friday, March 18, 2011

Terkadang kita lupa. . .

Bismillah.

Terkadang kita lupa,
Bahawa setiap kejadian itu berlaku dengan izinNya.

Terkadang kita lupa,
Setiap percaturan Allah itu pasti ada hikmahnya.

Terkadang kita lupa,
Allah itu lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Terkadang kita lupa,
Kasih sayang Allah itu melebihi segala-galanya.


Terkadang kita lupa...
Lantas, kita sering mengeluh atas ujian yang menimpa kita.
Malah, dengan mudahnya kita rasa berputus asa.


Apakah kita lupa, bahawa Allah itu ada?
Hebat manakah kita... sehingga kita sombong untuk meletakkan sepenuh pergantungan dan tawakkal kepadaNya? 


Astagfirullah....
Ampuni kami ya Allah, atas kekhilafan kami.

Sifat pelupa kami, menunjukkan, diri kami yang lemah,
Dan perlunya kami kepadaMu ya Allah.

Allah...
Jika kami lupa, ingatkanlah kami,
Jika kami leka, sedarkanlah kami,
Moga-moganya,
Kami lebih bersabar dan teguh berada di atas jalanMu...

Sungguh, kami yakin,
Kau lebih mengetahui apa yang terbaik buat kami,
Meskipun yang Engkau hindari itu,
Kelihatan amat menarik di hati kami,
Atau tampak lebih baik buat kami,
Kerana sesungguhnya, pengetahuan kami, amat-amatlah terbatas.

-truth seeker-
in the observation of Allah

ps: ingatkan saya, agar saya tidak lupa.

Wednesday, March 16, 2011

Bersediakah kita?

Bismillah

Alhamdulillah..

Dia masih berikan saya peluang untuk bernafas.
Dia masih berikan masa kepada saya untuk perbaiki diri.
Dia masih berikan kesempatan kepada saya untuk beramal dengan ilmu yang saya ada... dan perkara-perkara yang saya sampaikan
Dan Dia juga masih berikan ruang kepada saya, untuk mensucikan hati saya, dari noda-noda dosa, dari karat-karat jahiliyyah yang hanya mereputkan jiwa ini...

Saya tidak lain, hanyalah hambaNya yang hina dan berlumuran dosa.
Jika tidak atas kasihnya Dia, mungkin, saya tidak akan diberi nikmat sekelumit pun

Ditambah,
Amalan saya yang tak seberapa... jauh sekali untuk dibandingkan dengan orang-orang yang soleh
Dan mengingatkan itu, saya jadi takut untuk menghadapi mati.

Ya. Rasa takut, khuatir, gerun..
Jujur saya katakan
Kerana diri masih belum bersedia...

Bersediakah kita untuk kembali padaNya?

Saya tertanya-tanya,

Jika Allah menjemputku sekarang.. apakah yang ingin aku persembahkan kepadaNya?

Dosa-dosaku yang bertimbun?
Amalan-amalanku yang sedikit..?
Itupun, yang aku masih berkira-kira dalam melakukannya.

Banyak mengikut nafsu...
Ada kala malas, ada kala sekadar cukup done.
Tidak berusaha dengan sesungguhnya..

Dan..
Benarkah aku ikhlas dalam mengerjakan amalan-amalan itu??

Jika benar engkau ikhlas...
Mengapa dengan mudahnya engkau mengeluh, dan berputus asa..?

Mengapa??

Apakah amalan-amalanmu yang tak seberapa itu yang ingin engkau persembahkan kepada Tuhan yang memberimu segala nikmat yang kau kecapi sehingga hari ini?

Cukupkah??
Atau..
Mungkinkah lebih teruk lagi, di hadapanNya kelak, semua itu hanya menjadi debu-debu yang berterbangan?

Ya,
Hanya menjadi debu-debu yang tidak punya apa-apa nilai
Atas sebab dirimu, yang tidak ikhlas dalam beramal...

" Dan Kami memperlihatkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan."
[Qs. 25: 23]

Astagfirullah..
Astagfirullah..
Astagfirullah..

Insaflah wahai diri
Insaflah, sebelum engkau terlambat...

Ya Allah,
Yang Maha Pengampun,
Yang Maha Ihsan,
Ampunilah aku ya Allah,
Atas segala dosa yang sering aku lakukan,
Atas dosa-dosa kecil yang sering ku perlekehkan,
Atas segala kata-kata yang tidak aku laksanakan,
Atas segala ilmu yang tidak aku amalkan,
Atas segala amal, yang bukan keranaMu aku kerjakan.. T_T

Aku hanya hambaMu yang hina ya Allah...
Ampunilah aku
Rahmatilah aku
Limpahkanlah petunjukMu kepadaku
Aku tahu, aku bukan hambaMu yang baik
Tidak layak bagiku mendapat redha dan kasih sayangMu
Namun ya Allah
HambaMu ini masih berusaha untuk memperbaiki diri.. mendekatkan hati kepadaMu

Oleh itu ya Allah
Dengan belas ihsanMu
Kasihanilah aku
Berikanlah aku lebih masa untuk aku memperbaiki diri
Agar tatkala aku, Engkau jemput
Aku membawa diri ini
Dan dapat persembahkan kepadaMu
Qalbun salim (hati yang bersih)...

" Dan janganlah Engkau hinakan aku pada hari mereka dibangkitkan,

(iaitu) di hari harta dan anak-anak tidak berguna,

kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih,"

[Qs. 26: 87-89]




Tetapkan hati-hati kami ini ya Allah...
Untuk terus dan terus, dalam usaha, mendekatkan diriku kepadaMu
Sehingga ke akhirnya. . .

Aminn
Ya Rahman

-truth seeker-
in the observation of Allah

Tuesday, March 15, 2011

Saya muslim?

Bismillah

Menjadi muslim bukan kerja part-time.


Alhamdulillah.
Baru saya dapat mengambil nafas seketika dan mencoret sesuatu di sini. Kerana, semenjak dua menjak, kehidupan saya dipenuhi dengan kerja dan tugasan. Jarang dapat rehat yang sepenuhnya.

Namun, itu perkara yang biasa kan?

Hidup di universiti, tidak dapat tidak, pelajar akan merasai kesibukan. Apatah lagi, mereka yang 'muslim', dan berperanan sebagai muslim.

Em. Ada ke orang muslim yang tak berperanan sebagai muslim?

Tepuk dada, lihat sekeliling kita.

Saya tertarik dengan satu kata-kata yang saya temui di facebook,

" Sebagai pelajar di universiti. Jangan meletakkan 'aku sebagai pelajar', melebihi 'aku sebagai muslim'."

Hmm. Benar. . .

Pasti, dalam memikul 'amanah' sebagai pelajar, kita tidak terlepas dengan banyak kerja dan tugasan.

Assignment bertimbun, group project, ditambah dengan tests yang mendekati, dicampur dengan kerja posisi-posisi di universiti, kalau ada, pasti kadang buat kita tak cukup tangan bukan?

Tapi, berbalik kepada asas, 'jangan lebihkan saya seorang pelajar, lebih dari saya seorang muslim.'

Maknanya. .  .

Jangan sebab nak skor exam, kita stadi pulun sampai lewat tengah malam, tetapi kemudiannya, solat subuh kita tinggalkan.

Jangan sebab nak siapkan assignment dan project work, rakan-rakan kita pergunakan demi kepentingan diri. Akhlaq kita tidak dijaga.

Jangan sebab nak pulun studi, tanggungjawab dakwah hanya dilakukan sambil lewa. Apatah lagi, ditinggalkan terus.

Buat diri sendiri.. jangan, jangan kamu sedemikian.

Sebagai muslim, hidup kita bukan semata untuk diri kita, tidak. Tetapi juga, untuk orang-orang sekeliling, demi kebangkitan ummah.

Dalam hal ini, kita perlu bijak menimbang keadaan, atau mudah kata, tau mana yang prioriti.

Jikalau, pada masa itu, esok kita ada test, so, sudah semestinya, test itu menjadi salah satu prioriti utama kita saat itu.

Jikalau pada masa itu, ada program-program Islam, yang kita perlu kelolai atau sertai, maka, program itu pasti menjadi prioriti utama buat kita.

Jikalau, clash, antara tanggungjawab yang ada, pandai-pandailah bahagikan masa, mengikut kepentingan. Jangan pula kerana studi, tanggungjawab-tanggungjawab lain terus diabaikan.

Aku sebagai muslim, kena sentiasa melebihi aku sebagai pelajar.



Jika kita hanya mahu studi, tanpa memikirkan tanggungjawab-tanggungjawab kita yang lain, tanyakan pada diri, "Ikhlaskah kamu studi kerana Allah?"

Kerana dalam hal niat.

Ramai yang melihat, niat itu seakan-akan toppings pada ice cream. Boleh tambah suka-suka, sebagai pelengkap rasa.

Studi, studi, studi,... pastu niatkan kerana Allah. supaya dapat pahala ibadah.

Tidur, niatkan kerana Allah.

Makan, niatkan kerana Allah.

Bersukan, niatkan kerana Allah.

Ya, memang niat itulah, yang dapat menjadikan sesuatu amalan itu ibadah.

Tetapi,  "Sesungguhnya setiap amal bermula dengan niat..." -hadis

Ya, bermula dengan niat.

Bukan sekadar, eh, saya mahu studi la untuk exam esok. Supaya, sem ni nak dapat dean's list and etc.. Tiba-tiba, hujung tu kita tambah.. niat kerana Allah. Semudah itukah? Adakah dengan sekadar, kata-kata @ lintasan hati kita yang kejap itu, terus, ia menjadi ibadah?

Sudah tentu tidak.

Amalan itu 'bermula' dengan niat.

Niat kerana Allah, itu asas amalan itu.

Yakni, tujuan kita berbuat sesuatu amalan itu, kerana Allah.

Studi kerana Allah. Supaya dapat meningkatkan ilmu, membangun ummah, pelihara maruah Islam. . .

Tido kerana Allah. Agar dapat mengumpul tenaga, untuk terus beribadah, dan memainkan tanggungjawab kita sebagai muslim.

dll...

Dan sekali lagi, niat, bukan sekadar toppings pada aiskrim. Sebaliknya, ia adalah asas bagi sesuatu amalan itu.

Jadi, studi kerana Allah, sehingga, meninggalkan tanggungjawab-tanggungjawab muslim kita yang lain?

Kita studi kerana Allah kah?

Tanyakan kembali ke dalam diri.

Ingatkan diri, kita sebagai muslim, harus sentiasa melebihi kita sebagai pelajar.

Bahkan sebenarnya, kita sebagai pelajar, itu merukan salah satu sub kepada kita sebagai muslim.

.... Terasa tanggungjawab, berat sangat??

Ingatlah firmanNya,

" Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. .." (Qs 2: 286)

Jadikan Rasulullah s.a.w. role model kita. Bagaimana tanggungjawab yang baginda pikul, jauh lebih banyak dan berat berbanding kita. Akan tetapi, apakah pernah baginda mengeluh?

Introspeksi diri.. introspeksi diri..

Ingatlah, kehidupan dunia ini, hanya sementara.. ya.

Dan tetap, akhirat jualah, kehidupan kita yang sebenarnya.. kehidupan kita yang abadi... benar?

Lantas, wahai diri.... mengapa aku masih berkira-kira? 

" Wahai orang-orang yang beriman!
Mengapa apabila dikatakan kepada kamu, 'Berangkatlah di jalan Allah', kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu?

Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat?

Padahal kehidupan di dunia (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit."

[Surah At-Taubah, 9: 38]


-truth seeker-
in the observation of Allah

Monday, March 14, 2011

Aku hanyalah hamba. . .

Bismillah



Hidup ini bukanlah satu gelanggang untuk kita bermain-main. Aku diajar bahawa di dalam kehidupan, pasti akan ada kepahitan. Dan dari yang pahit itulah, baru kita dapat merasakan ‘manis’nya manis.

Setiap kejadian itu berlaku hanya dengan seizin Allah, dan pasti ia turut sama mengandungkan hikmah dari Sang Pencipta.

Pada kesukaran, di situ kita dapat belajar erti kesabaran, ketabahan, redha, rendah hati, dan kebergantungan pada Tuhan Yang Maha Kuasa.

Pada kenikmatan dan kegembiraan, kita dapat pula belajar untuk mensyukuri setiap pemberian Tuhan.

Apa-apa kelebihan atau keistimewaan itu bukanlah untuk dibangga, malah kita sebagai hamba selayaknya bertambah rasa kerdil dan rendah hati pada Yang Maha Esa, kerana Dia juga telah memilih kita untuk mendapatkan beberapa kelebihan yang mungkin tidak dapat dirasakan oleh sebahagian besar lagi insan-insan yang lain.

Kita adalah hamba, itu peranan kita. Bukalah mata kita, telinga kita, minda kita, dan hati kita seluas-luasnya, agar kemudian kita akan dapat melihat, di sebalik semua aturan Yang Maha Esa itu, wujudnya tanda-tanda keagungan dan kebijaksanaan Sang Pencipta.

Berpijaklah pada realiti. Pada hakikat kehidupan di dunia ini tidak kekal abadi.

Mari sama-sama kita kembali kepada fitrah - Bergantung  sepenuhnya hanya pada Yang Maha Kuasa.  Menjadi hamba sepenuh masa.

Jom! ^_^

Lillahita’ala~
truth seeker . aku – hambaNya .  0137 . 11/01/07
-in the observation of Allah-

Saturday, March 12, 2011

Bismillah

Bismillah

Ya Allah
Semoga dengan blog ini
Dapat mendekatkan aku kepadaMu

Amin Ya Robb

-truth seeker-
in the observation of Allah