Thursday, April 21, 2011

Cinta

Bismillah

Alhamdulillah, syukur dan cinta kepada Allah, Dia masih lagi terus-menerus memberi saya peringatan, walaupun acap kali, saya melupakan.
Biarpun seringkali juga, saya buat tidak endah. astagfirullah.

Maaf.

Saya terpaksa memendekkan bicara untuk tulisan kali ini, memandangkan hari esok, saya akan dihadapkan dengan ujian. Ujian universiti, yang merupakan salah satu dari ujian-ujian dunia. Semoga Allah permudah.

Sebelum ini, saya ada mengambil keputusan untuk berhenti menulis buat sementara waktu.
Ada beberapa kejadian, di alam realiti, yang 'menyuruh' saya agar "less talk, more actions." Menyeru saya supaya lebih fokus untuk perbaiki diri terlebih dahulu, sebelum menyampaikan pada orang lain.

Namun begitu, tetap, pada kali ini, saya mahu juga menulis.

Kerana saya menulis ini buat peringatan diri.
Agar kesedaran yang saya perolehi ini, saya tidak mudah lupa.
Agar tatkala saya leka, tulisan ini bakal kembali mengingatkan saya.

Oleh kerana itu, saya kembali menulis.

---

Wahai jiwa yang berada di dalam gengamanNya
Ingatlah
Jangan sesekali kerana engkau ingin mengejar dunia, kau melupakanNya.
Jangan sesekali kerana engkau tergesa-gesa menginginkan hasil, kau tidak menjaga hubunganmu dengan Allah.

Jangan. Jangan. Jangan.

Terkadang,
Tindakanmu betul.
Kau cuba melaksanakan tanggungjawab dan perananmu sebagai muslim.
Seorang muslim yang perlu berdakwah.
Seorang muslim yang perlu menjaga akademiknya.
Seorang muslim yang perlu menjaga imejnya, agar tidak menjadi fitnah buat Islam.

Namun, terkadang
Dalam kau sibukkan dirimu melakukan itu semua
Kau seakan-akan lupa
Atas apa engkau gerakkan segala usahamu pada mulanya?

Bagaimana mungkin hatimu merasa tidak tenteram, tatkala kau diuji dengan bebanan-bebanan kerja, sedang yang kau lakukan itu adalah suatu ibadahmu kepadaNya?

Bagaimana mungkin dirimu merasa gelisah, tatkala kau dicuba dengan fitnah-fitnah dunia, sedang kau tahu yang menetapkan segalanya adalah Allah? Mana mungkin Dia bertindak zalim terhadap hamba-hambaNya.

Bagaimana mungkin dirimu mula memandang enteng, khusyukmu dalam membaca Al-Qur'an, kedamaianmu tatkala kau bersolat menghadapkan diri kepadaNya, atas sebab sibuk akan urusan-urusan dunia, yang bukankah hakikatnya semua itu juga kau lakukan demiNya?

Astagfirullah...
Ampunilah hambaMu ini ya Allah.
Atas kelalaianku dalam mengingatiMu
Atas kelekaanku, dalam menjaga keikhlasan dalam beribadah kepadaMu

Kini ku sedar
Dan aku teramat-amat yakin
Bahawa biar apa dugaan yang melanda
Walau sesibuk mana, aku disibukkan dengan tanggungjawab dunia

Hati ini tidak boleh sekali-kali lalai mengingatimu ya Allah
Jiwa tidak boleh sekali-kali 'disconnect' denganMu
Suara hati perlu sentiasa ku suarakan, agar terus dan terus dapat berbicara denganMu

Sungguh
Mengejar hasil di dunia, adalah suatu ujian buat dirimu juga
Namun, apa yang penting
Jangan sekali-kali kau mengabaikan hubunganmu dengan Allah
Jangan sekali-kali kau merasa kecewa atau berputus asa kepada janjiNya, atas ujian yang Dia berikan
Jangan sekali-kali kau biarkan hatimu itu, tandus

Tandus dengan cintaNya. . .

Mana mungkin kau dapat ikhlas dalam melakukan amal kebaikan, sedang hatimu itu tidak terisi dengan cinta kepadaNya?

Jaga hati.
Jaga hati.
Jaga hati.
Suburkan benih-benih cinta kepadaNya.
Agar cinta itu berkembang mekar dan indah di dalam hatimu.

Dan
Tidak pula aku menyuruhmu untuk berhenti dari terus berusaha
Asalkan,
Kembalikan segala urusan itu kepada Allah

Kembalikanlah
Agar, usaha-usahaMu itu kelak akan membawa nilai
Di sisi Dia Yang Maha Pengasih, Maha Teliti.



Ya Allah,
Isikanlah hatiku kecilku ini
Dengan kemanisan, cinta kepadaMu.


-truth seeker-
in the observation of Allah

No comments: